PUTRAJAYA: Menteri Pengangkutan Anthony Loke hari ini mengumumkan penerbangan tambahan Kuala Lumpur ke Sibu dalam satu inisiatif tambahan sempena sambutan Tahun Baharu Cina (CNY).

Hasil perbincangan antara kementeriannya dan Batik Air Malaysia, mereka bersetuju menambah kapasiti dengan menawarkan penerbangan tambahan pada 6 dan 7 Feb ini.

“Kami mengambil maklum insiden kehabisan tiket penerbangan ekonomi dari Kuala Lumpur ke Sibu tiga hari sebelum Tahun Baharu Cina.

“Selain itu, bermula 8 Feb, Batik Air akan memulakan perkhidmatan berjadual ke Sibu dan Tawau, selain daripada Kuching dan Kota Kinabalu di Malaysia Timur," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 di Kementerian Pengangkutan, di sini, hari ini. 

Selain itu satu penetapan harga tiket penerbangan juga bakal ditetapkan susulan pengumuman berkenaan.

“Batik Air bersetuju untuk menawarkan tambang ekonomi harga tetap pada RM399 untuk laluan sehala Kuala Lumpur ke Sibu.

“Tambang khas ini berlaku untuk lapan penerbangan Batik Air dari Kuala Lumpur ke Sibu bagi perjalanan dari 6 hingga 9 Feb, dan penjualan tiket bermula segera,” tambahnya lagi.

Loke menekankan bahawa inisiatif ini merupakan tambahan kepada langkah-langkah lain, termasuk tambang tetap oleh AirAsia yang diumumkan minggu lepas dan tambahan 20 penerbangan oleh Malaysia Airlines dari Semenanjung Malaysia ke Sabah dan Sarawak hingga 4 Januari 2024.

Beliau juga sebelum ini mengumumkan subsidi harga maksimum untuk tambang penerbangan ekonomi bagi laluan antara Semenanjung Malaysia dan Sabah, Sarawak, dan Labuan.

Subsidi ini akan berkuat kuasa tiga hari sebelum perayaan CNY, Hari Raya Aidilfitri, Hari Gawai, Pesta Kaamatan, dan Perayaan Krismas pada tahun ini.

Dengan pengumuman ini, beliau berharap dapat memastikan kelancaran perjalanan perantau dan memberikan kemudahan kepada mereka untuk merayakan CNY bersama keluarga dan rakan-rakan.